Bagang Bugis
Share
Pukat jerut jejas rezeki nelayan bilis
Pukat jerut jejas rezeki nelayan bilis
GELAP pekat malam di Teluk Darvel, Laut Sulawesi berhampiran pantai Kunak, Sabah dihiasi cahaya lampu bulat yang dijana melalui jana kuasa 16 kuasa kuda.
Perairan kira-kira enam batu nautika dari jeti di pantai Kunak seolah-olah pesta yang dilimpahi cahaya lampu dari puluhan kelong atau lebih dikenali sebagai `bagang' di kalangan anggota masyarakat tempatan.
Pada jam 4 pagi, pemilik bagang, Siti Asiah Hamid yang berusia lewat 30-an sudah berada dalam perahu yang bergerak perlahan menuju bagang yang diwarisi daripada bapanya sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Setengah jam kemudian, ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 14 tahun itu sudah memanjat tiang bagang untuk menjejakkan kaki di pelantar jongkong atau bot tanpa enjin sepanjang kira-kira 15.2 meter.
Empat pekerja yang diupah oleh Siti Asiah mengusahakan bagang itu sudah lebih awal berada di atas bagang. Sejurus sebelum mentari terbenam di ufuk barat kira-kira jam 6 petang, mereka sudah menurunkan pukat bagang.
Mereka masih lena diulit mimpi di atas pangkin yang dikepung dengan dinding papan yang mampu memuatkan kira-kira enam pekerja.
Jongkong diperbuat daripada kayu berlian yang tahan menerima hakisan air laut itu adalah struktur utama bagang. Di kiri dan kanan jongkong yang di tengahnya tercacak tiang kayu bintangor setinggi kira-kira 12.1 meter, dipasangkan kayu pemegang pukat yang disebut sebagai kayu gelegar sepanjang kira-kira 13 meter.
Dengan 120 batang gelegar, masing-masing 60 di kiri dan 60 di kanan jongkong, pukat yang diikat kemas padanya, berfungsi sebagai perangkap bilis, kembung, selayang, tulai, sotong, udang dan pelbagai jenis ikan lain.
Deruman enjin jana kuasa menguasai suasana di atas bagang. Lapan lampu bulat yang masing-masing di kiri dan kanan bagang menerangi permukaan laut buat menarik kehadiran bilis dan pelbagai khazanah laut yang lain bermain-main di bawahnya.
Pukat bermata halus diikat kemas menggunakan kira-kira 200 wayar pada gelegar. Pukat diperbuat daripada nilon itu diturunkan hingga mencecah kira-kira 14 meter dalam laut. Sejurus sebelum mentari terbenam, ia diturunkan dengan kaedah melepaskan tali utama yang diikat pada bahagian tertentu pada pukat yang bersambung dengan gelegar.
Bahagian hujung pukat pula diikat tali yang bersambung pada dua kayu engkol atau `winch' yang berfungsi sebagai penarik utama ketika pukat ditarik naik sejurus sebelum mentari muncul di ufuk timur.
Selepas menunaikan solat Subuh dan menjamah beberapa keping pisang goreng yang dibawa Siti Asiah dari rumahnya di Kampung Pengkalan, Kunak, empat pekerja mula menarik pukat dari hujung bagang.
Satu demi satu pukat diikat pada gelegar. Kocakan air laut menandakan bilis dan pelbagai jenis ikan lain berpusu-pusu mencuba melepaskan diri daripada pukat. Namun segala jenis ikan itu tidak mampu melepaskan diri dan terpaksa mengikut urutan pukat yang ditarik naik mengiring ke arah hujung pukat.
Menjelang mentari terbit kira-kira jam 6 pagi, bahagian hujung pukat yang bersambung dengan kayu engkol ditarik naik. Ribuan bilis, kembung, tulai, selayang, sotong, udang dan pelbagai jenis ikan lain mencuba melepaskan diri, lalu menghasilkan kocakan kuat air laut di hujung pukat.
Segala hasil tangkapan itu dimasukkan terus ke dalam perut perahu yang sudah sedia menunggu di bahagian bawah bagang di hujung pukat.
Bilis paling tinggi nilainya. Bilis basah dijual di jeti Kampung Pengkalan kepada peraih pada harga antara RM2 hingga RM2.40 satu kilogram (kg), manakala tamban (70 sen), kembung (RM4), tulai (RM5), tongkol (RM6), selayang (RM3) dan udang (RM20).
Bagaimanapun, jika Siti Asiah menjemur bilis antara satu hingga dua hari (bergantung kepada cuaca), beliau mampu menjualnya antara RM7 hingga RM8 satu kg.
"Ada peraih sanggup datang ke bagang untuk membeli bilis. Purata satu bakul bilis seberat 50 kilo saya jual RM120. Ketika bulan gelap, pernah saya mendapat bilis kira-kira lima tan (kira-kira 5,000 kg).
"Hanya kami, orang Bugis yang mengusahakan bagang. Mungkin ada satu atau dua pengusaha bagang daripada etnik lain seperti Suluk dan Bajau. Kami sudah mengusahakan bagang secara turun- temurun sejak 1970-an lagi. Ketika itu nenek moyang kami menggunakan bot kecil.
"Sejak 1985, kami mula menggunakan jongkong. Untuk membina satu bagang sekarang memerlukan antara RM70,000 hingga RM90,000 kerana kayu berlian mahal. Jongkong tak ada enjin. Kalau nak gerakkan, kami tolak dengan perahu. Selalunya, kami berpindah-randah. Kalau di sini tak ada bilis, kami pindah ke tempat lain," ujarnya.
Namun, mengusahakan penangkapan bilis sekarang tidak sama dengan kira-kira 10 atau 20 tahun lalu. Kemunculan pukat jerut yang diusahakan nelayan bot besar sedikit sebanyak menyebabkan hasil tangkapan bagang semakin berkurangan.
Setiap hasil jualan harus ditolak kos diesel. Sementara pemilik bagang berhak memperoleh 50 peratus daripada hasil jualan, pekerja pula membahagikan 50 peratus bakinya sesama mereka.
Sehubungan itu, pengusaha bagang merayu kerajaan memberi peluang kepada mereka membeli diesel pada harga subsidi seperti yang dinikmati nelayan konvensional yang lain bagi membantu mengurangkan beban operasi.
Info: Bagang mudah alih
# 15.2 meter - panjang jongkong atau bot tanpa enjin
# 12.1 meter - tiang utama di tengah jongkong
# 13 meter - panjang kayu gelegar pemegang pukat
# 120 - kayu gelegar, masing-masing 60 di kiri dan 60 di kanan jongkong
# 200 - wayar pengikat pukat pada gelegar
# 14 meter - pukat diturunkan ke dalam laut
# 16 kuasa kuda jana kuasa
# 16 lampu bagang, masing-masing 8 di kiri dan 8 di kanan jongkong
# Diwarisi masyarakat etnik Bugis di Sabah dari satu generasi ke satu generasi.
Sumber : Berita Harian

Pekerja bagang menarik pukat dengan menggunakan kayu engkol atau 'winch' di perairan kira-kira lima batu nautika dari pantai Kunak dai Teluk Darvel, Laut Sulawesi, Kunak.