Sunday, July 4, 2010

FAKULTI AKAL: TRANSCENDENCE MINIMA

Share
Tahap (-7)

http://www.fortunecity.com/millennium/rollingacres/1250/nature/n10b-n-andromeda-galaxy-495BG.jpg

DUNIA menyimpan banyak misteri yang tidak terungkai meskipun penyelidikan dijalankan tanpa henti bagi menemui jawapan terhadap pelbagai persoalan. Teori Big Bang menjelaskan alam semesta tercipta daripada satu letusan berapi universal yang menjadikan jutaan galaksi terbentuk bertaburan di angkasa raya. Proses pengembangan galaksi terus berkembang tanpa henti hingga hari ini.

Di gugusan galaksi Bima Sakti, perubahan dan pencantuman atom yang berselerak di angkasa raya memberikan keputusan terhadap satu planet (Bumi) yang terus berkembang apabila atom hidrogen bercantum dengan atom oksigen menghasilkan satu unsur baru yang diformulasikan menjadi H2O iaitu air. Asas hidupan biologi di bumi. Allah menjadikan bumi dengan kuasa yang sangat dahsyat.

Melalui penyelidikan sains juga, didapati bahawa semua hidupan biologi di bumi tercipta daripada hidupan unisel yang pada awalnya hidup di dalam air. Bermula dengan hidupan unisel, ia terus berkembang menjadi hidupan dwi-sel dan seterusnya multi-sel yang terbina daripada kombinasi jutaan atom membentuk unsur baru, sel dan membentuk jasad-jasad yang lebih teguh dan kompleks. Detik itu juga, pelbagai hidupan mula hidup secara berperingkat di bumi yang makmur dengan kehendak Allah, meskipun ketika sebelum Adam diciptakan.

Maka, apakah makhluk yang hidup di planet ini sebelum turunnya Adam memijak tanah dan menjadi khalifah di bumi?
Ada yang berpendapat bahawa spesies haiwan gergasi (dinosaur) wujud di bumi selama berjuta tahun sebelum turunnya Adam. Namun, pendapat itu dibina 100 peratus daripada perkiraan saintifik yang tidak bersandarkan kepada mana-mana kitab suci. Ia adalah pendapat di kalangan para saintis atheis tegar dari Barat yang tidak mempercayai mana-mana kitab agama, malah tidak mempercayai kewujudan ‘The Most Powerful’ iaitu Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Apa benarkah dinosaur itu makhluk tertua yang pernah menghuni bumi sebelum Adam?

(Allah berfirman) “Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, mereka (para malaikat) berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah.” (Quran, al-Baqarah: 30)

Berdasarkan maksud ayat 30 yang dipetik daripada surah al-Baqarah, Allah merakamkan pertuturan-Nya bersama para malaikat mengenai sebelum penciptaan Adam. Melalui ayat itu, malaikat bertanya kepada Allah dengan pertanyaan: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan..”
Penekanan terhadap ‘orang yang akan membuat kerosakan’ itu seolah-olah memberi petunjuk (clue) bahawa sudah ada makhluk sebelum manusia yang menghuni bumi, dan makhluk itu pula pernah membuat kerosakan di bumi.

Manakala 'orang' itu pula merujuk kepada makhluk yang berakal, tidak semestinya manusia. Keadaan itu menyebabkan para malaikat bimbang dengan ‘siri kerosakan seterusnya’ dan bertanya kepada Allah yang jika dijadikan dalam bentuk ayat mudah, ia mungkin berbunyi seperti: “Kenapa mahu mencipta makluk lain di bumi kerana setiap makhluk yang menghuni bumi hanya akan melakukan kerosakan?” – MAAF JIKA PENDAPAT INI DAIF DAN SALAH.

Maka, makhluk apakah yang pernah menghuni bumi sebelum Adam dijadikan khalifah? Untuk menjawab persoalan itu, kita perlu mengumpul fosil-fosil pra-sejarah, kemudian melakukan ujian radio-karbon bagi menentukan usia fosil sebelum membuat kesimpulan. Sebelum itu juga, kita harus membantu akal kita dengan keterangan-keterangan al-Quran dan Hadis supaya kesimpulan yang dibuat itu sentiasa terarah dalam titik yang wajar. Untuk menjangkau transcendence, kita perlu diterangi dengan sebahagian kecil ilmu Allah iaitu al-Quran.

Kitab al-Quran hanya sebahagian kecil yang menerangkan ilmu Allah kerana ilmu Allah lebih luas daripada apa yang disampaikan dalam al-Quran. Kita pula hanya mampu menjangkau subjek-subjek yang diterangkan dalam al-Quran sahaja, manakala bagi subjek-subjek yang tidak diterangkan dalam al-Quran pula adalah ilmu Allah secara mutlak dan kita tidak akan mampu menjangkau pengetahuan melebihi tahap transcendence meskipun pada tingkat paling minimum. Kita hanya mampu berada pada tingkat paling minimum dalam lapisan transcendence walaupun sifat ingin tahu yang ada pada diri manusia sememangnya melebihi transcendence, namun akal kita ada batasnya.

Batasnya ialah tidak melebihi julat paling minimum dalam skala transcendence. Akal manusia hanya bercahaya dalam nyalaan paling malap, namun kemalapan itu menjadi lebih terang dan berharga apabila disinari iman dan takwa. Segala puji-pujian kepada Allah yang memiliki segala pengetahuan.
Diharap, penyampaian dengan menggunakan bahasa mudah ini akan memudahkan pemahaman semua..kami tidak mahu ada yang keliru dengan penggunaan jargon atau terma yang menyulitkan pemahaman.

BACA DENGAN TENANG & FAHAMI BETUL-BETUL

Bumi pada tarikh 2 juta tahun Sebelum Adam?

Peluang menyertai ekspedisi selaku salah seorang krew jemputan untuk rakaman penerbitan Discovery ke seluruh tapak pra-sejarah pada penghujung 2008 membuka satu lembaran baru terhadap fakta sejarah dunia. Ia berkaitan penemuan yang tidak disangka-sangka dan membuka kepada teori-teori baru yang kontroversi. (Maaf, gambar dan visual penemuan artifak semasa ekspedisi tidak dapat dikongsi sehingga diterbitkan oleh pemilik Hak Cipta Penerbitan 2008 – terms of broadcasting exclusivity) (Atau..mungkin tidak akan diterbitkan jika ada ‘tangan-tangan’ yang mahu menghalang fakta daripada tersebar, maka saya mengambil langkah proaktif dengan melaporkan dahulu sebahagian kecil fakta sebelum ‘tangan-tangan’ itu bertindak).

Berdasarkan keterangan Bible dalam bab Genesis (Kitab Kejadian) dan juga berdasarkan Biblical Arkeologis, kewujudan Adam dianggarkan bermula pada tarikh antara 5095 hingga 4095 Sebelum Masihi atau kira-kira 7,000 tahun dari tarikh hari ini. Kenyataan dari sudut Bibilical Archeology bagaimanapun tidak selari dengan penemuan semasa, malah bercanggah dengan keterangan forensik sejarah. Bagaimana ia berlaku? Kita perhalusi.


Lakaran 'manusia' memburu mammoth yang wujud hampir dengan zaman dinosaur

Kita masuk kepada teori kewujudan dinosaur yang dikatakan sudah wujud kira-kira 2,007,000 tahun lalu. Dalam teori dinosaur kontemporari, manusia dikatakan hidup bersama dinosaur. Namun, manusia itu dikatakan tidak memiliki fizikal tulang kerangka yang sama dengan manusia moden, perkembangan kerangka manusia dikatakan berlaku secara evolusi. Siapa yang membangunkan teori itu tidak penting, perkara yang perlu diperhati ialah terhadap pernyataan ‘manusia sudah wujud sejak sezaman dengan dinosaur’.

Sedangkan, kenyataan Biblical Arkeologi pula menegaskan manusia (Adam) hanya wujud kira-kira pada tarikh 5000 Sebelum Masihi (SM). Ia sudah bercanggah iaitu, pernyataan bahawa Adam wujud pada 5000 SM dengan manusia sudah wujud sejak zaman dinosaur pada 2 juta tahun lalu.

Perbezaan sejarah manusia antara Biblical Arkeologi dengan Forensik Arkeologi

Biblical Arkeologi Forensik Arkeologi
- Adam wujud 5,000 tahun sebelum Isa, - manusia sudah wujud 2 juta tahun
iaitu kira-kira 7,000 tahun dari tarikh dari tarikh hari ini. Ia menyangkal
hari ini. Teori Bible.
------------------

Keterangan forensik arkeologi dibuat berdasarkan ujian karbon terhadap fosil-fosil yang ditemui dan ketepatannya pula sekitar 97.89 peratus atau hampir tepat. Maka, keterangan doktrin Bible adalah tidak berasas, Genesis juga tiada asas penjelasan disebabkan gagal menyatakan bukti secara konkrit.

Walaupun maklumat forensik arkeologi menyatakan manusia wujud sejak 2 juta tahun lalu, ia bagaimanapun mengaitkan kewujudan manusia bersama spesies dinosaur dan ia terlanjur pula seakan-akan menyokong teori evolusi Darwinism. Maka sebagai umat Islam, kita sememangnya membantah teori Darwin kerana ia menolak hukum penciptaan Adam sebagai manusia sempurna. Maka, tiada satu pun teori yang boleh kita pakai. Sekarang kita tidak lagi ditemani mana-mana teori, kita perlu berjalan sendirian meneroka lorong-lorong rahsia untuk mencari jalan keluar yang selamat di sepanjang persoalan ini.


Lakaran manusia hidup ketika zaman dinosaur.
Persoalannya, adakah 'manusia' itu dari jurai keturunan Adam?

Teori Darwin mengatakan bahawa manusia mengalami proses evolusi daripada spesies beruk sebelum berkembang sepenuhnya menjadi fizikal manusia moden. Ia melibatkan perubahan daripada fizikal awal sehingga kepada homosapiens (sekadar menyebut) yang mempunyai susunan tulang kerangka fizikal yang tidak sama dengan manusia moden (kita) terutama dari segi keadaan tengkorak dan tulang rusuk. Teori Darwin juga dibuat bersandarkan persamaan (hampir sama) kerangka primate yang dimiliki spesies manusia dan beruk. Walaupun kita membantah teori Darwin, tapi kita wajar juga melihat maksud sebenar teori itu. Bukan untuk menerima teori itu kerana kita sememangnya membantah, tetapi sekadar menjadikan ia sebagai alat pengukur untuk dijadikan subjek.

Namun menurut teori evolusi, apa sebenarnya homosapiens, homoerectus dan segala macam ‘manusia’ yang dikatakan ‘belum mencapai kesempurnaan’ seperti manusia moden itu? Jika manusia ‘belum cukup akal’ ini dikatakan wujud sezaman dengan dinosaur, maka di mana letaknya pula kedudukan ‘Adam yang diciptakan dengan cukup berakal’? Jika meneliti dua teori itu, kita perlu melihat sisi janggal iaitu… manusia mana yang tercipta di bumi terlebih dahulu..adakah Adam tercipta dahulu atau manusia ‘beruk’ (manusia darwin) yang tercipta dahulu?


apa pula makhluk berdiri dan berkaki dua yang bertanduk itu?

Ada beberapa kontradiksi iaitu.. Jika Adam itu dicipta terlebih dahulu lebih awal daripada manusia ‘darwin-type’, mengapa pula tidak diberitakan dalam al-Quran atau Bible mengenai kehidupan Adam bersama haiwan spesies dinosaur? Walaupun berita mengenai kehidupan Adam bersama isteri serta anak-anaknya di bumi seperti dalam al-Quran dan Bible tidak digambarkan dalam suasana tamadun yang gah sebagaimana zaman Idris, Nuh dan Ibrahim, namun ia masih jelas memberitakan bahawa Adam tidak hidup bersama dinosaur ataupun haiwan raksasa yang lain.

Meskipun ada pendapat mengatakan manusia pada zaman Adam memiliki saiz tubuh yang sangat besar berbanding manusia hari ini, ia sebenarnya tidak ada kaitan antara penjelasan fizikal haiwan dinosaur yang wujud sezaman dengan keluarga Adam. Adam tidak hidup di zaman dinosaur, kita terus lompat kepada kesimpulan itu kerana al-Quran tidak menyediakan sebarang clue untuk soalan itu. Jika ada clue, mungkin terlepas pandang. Persoalan Adam bukan tujuan perbincangan ini, tetapi kita lebih tertumpu kepada maksud sebenar ‘manusia darwin’.


Fosil pelik, juga ada kepala dan tangan seperti manusia

Manakala penemuan tulang rangka fosil ‘manusia darwin’ pula saiz kerangka adalah lebih kurang sama dengan kerangka manusia moden. Siapakah kumpulan ‘manusia’ yang memiliki tulang rangka yang hampir sama dengan manusia moden itu? Dalam teori evolusi, Darwin tidak memaksudkan ‘manusia’. Darwin sebenarnya memaksudkan ‘makhluk lain’ dan pada masa yang sama ‘meminta’ manusia moden menerima teori itu sebagai ‘proses evolusi kematangan fizikal spesies manusia’.

Apakah pula ‘makhluk lain’ itu? Ada makhluk lain yang mempunyai fizikal yang hampir menyerupai fizikal manusia? Satu garisan, jika manusia menerima bulat-bulat teori Darwin, maka manusia itu sesat kerana menolak kenyataan al-Quran mengenai penciptaan Adam sebagai manusia sempurna dan berakal. Satu garisan lain, jika pula manusia itu menolak bulat-bulat teori Darwin, ia menutup terus usaha untuk memahami apa jenis ‘manusia’ yang dimaksudkan Darwin. Kita harus meneliti garis halus di tengah ‘antara dua garisan’ atau between the lines. Ingat, ini bukan bermaksud kita menerima teori Darwin. Kita hanya cuba memahami maksud sebenar Darwin.

MEMAHAMI MAKSUD SEBENAR TEORI EVOLUSI DARWIN

Teori Darwin ternyata tidak disokong oleh mana-mana penjelasan penciptaan manusia berpandukan sudut pandang kitab-kitab agama terutama al-Quran. Pun begitu, bagaimana Darwin mendapat ilham untuk menjelaskan teori seperti itu yang sangat licik dan boleh memperdaya akal manusia yang tidak mempunyai pegangan agama?

Fizikal ‘manusia’ dalam teori Darwin mempunyai anggota tubuh seperti sepasang tangan dan kaki, badan dan kepala menyerupai spesies primate. Bermula dengan fizikal membongkok, Darwin mendakwa spesies itu terus berkembang dan mampu berdiri di atas sepasang kaki seperti manusia moden.

Namun, makhluk yang berakal diciptakan Allah dengan memenuhi kriteria sempurna iaitu ada sepasang kaki dan tangan, kepala di atas dan badan di tengah.

Penemuan sisa tulang temulang ‘manusia’ ini menimbulkan pertanyaan mengenai penjelasan sebenar terutama keadaan fizikal lengkap. Tulang temulang tidak cukup membuktikan jalinan otot dan daging yang lengkap diselimuti kulit. Jadi, apa bentuk tulang-temulang itu yang sebenarnya jika diselimuti daging dan kulit? Adakah seperti yang digambarkan sebagaimana dalam lakaran teori Darwin atau sebaliknya?

Meninjau ke simpang-simpang

Sebelum itu, kita masuk ke satu simpang iaitu dengan meneliti teori fizikal makhluk asing sebagai langkah mula. Makhluk asing lazimnya digambarkan mempunyai fizikal seperti makhluk berakal iaitu mempunyai sepasang tangan, sepasang kaki, badan dan kepala. Fizikal itu menyerupai bentuk tangan, kaki dan kepala manusia. Jika dibuang semua daging dan kulit makhluk asing itu, kita akan dapati tulang rangka makhluk asing itu sama seperti tulang rangka manusia.


Lakaran makhluk asing yang mempunyai kepala besar,
tangan, badan dan kaki sebagaimana manusia
yang juga memiliki semua anggota badan itu

Tangan makhluk asing digambarkan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan bentuk tangan manusia, maka tulang tangan makhluk asing mesti juga sama seperti tulang tangan manusia. Begitu juga dengan tulang kaki, tengkorak mahupun keseluruhan tulang rangka. Kepala makhluk asing pula digambarkan lebih besar dari saiz ideal, maka begitu juga dengan tengkorak ‘manusia darwin’ yang lebih besar daripada saiz ideal.

Penemuan tulang rangka ‘manusia’ yang dikatakan homosapiens, homoerectus atau neanderthal itu pula mungkin sekali bukan milik manusia. Kita membuat andaian ini kerana kita percaya bahawa Allah menciptakan Adam dalam bentuk yang sempurna termasuk dari segi keadaan tulang rangka seperti manusia moden hari ini, ia berkenaan bentuk tetapi tidak dari segi saiz. Adam bukan dalam keadaan bertulang rangka seperti homosapiens dan sebagainya sebagaimana didakwa Darwin. Adam manusia sempurna, tidak seperti homosapiens atau sebagainya.

Maka dengan itu, adakah tulang rangka yang dikatakan milik homosapiens dan homoerectus dan sebagainya itu adalah milik makhluk asing? Benarkah ia milik makhluk asing? Kita masuk pula kepada penjelasan di simpang lain.

Jelmaan bangsa jin

Kita sedia maklum bahawa bangsa jin mampu menjelma kepada pelbagai bentuk nyata dengan izin Allah. Penjelmaan itu dilakukan sebagai muslihat untuk memperdaya manusia. Makhluk ini menjelma menjadi ular (reptilia), wajah-wajah ngeri dan sebagainya. Maka, tidak mustahil makhluk tidak nyata ini juga menjelma menyerupai makhluk aneh yang nyata dan kita namakan sebagai makhluk asing.

Dari satu sudut apabila makhluk ini menjelma menjadi ular atau sebagainya, ia boleh dibunuh, mati dan menjadi bangkai. Manakala bangkai itu pula akan mereput melalui proses pereputan normal dan meninggalkan tulang yang boleh dilihat manusia. Maka, tulang itu nyata dan boleh dilihat dan disentuh.

Sama juga jika makhluk itu menjelma menjadi makhluk asing atau ‘manusia darwin’ sebelum Adam diturunkan ke bumi, lalu makhluk jin itu mati dan dikebumikan oleh bangsa-bangsanya, kemudian menjadi tulang temulang yang akhirnya ditemui manusia moden. Lalu, tulang itu dikatakan tulang manusia prasejarah yang hidup sezaman dengan dinosaur.


Lakaran jin (kanan) yang mempunyai fizikal tangan, kepala
dan kaki seperti manusia tetapi badan berbulu seperti beruk.

Satu sisi lain, ada sesetengah pendapat daripada para ilmuwan mengatakan bangsa jin itu sebenarnya memiliki bentuk badan yang hampir sama dengan manusia iaitu mempunyai sepasang tangan, kaki, badan dan kepala. Yang membezakan antara manusia dan jin ialah, manusia dari tanah itu makhluk nyata manakala jin dari api itu pula tidak nyata (ghaib) namun mampu menjelma menjadi nyata (jasad). Malah melalui pendapat yang sama, jin juga dikatakan boleh mati semasa menjelma menjadi bentuk nyata. Bagaimana bentuk jin dalam keadaan berselimut kulit dan warna kulit mereka, itu tidak penting. Kita melihat hanya kepada tulang yang tertinggal apabila jin itu mati dalam bentuk nyata. Fokus itu dibuat kerana kita hanya melihat kepada bukti tulang temulang homosapiens dalam kategori ‘manusia Darwin’.

Jin boleh mati, jin hanya memohon daripada Allah supaya dipanjangkan umur serta diberi tempoh. Iblis yang diberi tempoh hidup hingga kiamat (immortality) pula hanya melibatkan golongan iblis yang bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia. Jin dan syaitan lain pula tidak terkecuali daripada undangan ajal. – maaf jika pendapat ini salah dan sila betulkan jika ada penjelasan melalui dalil lain yang sahih mengenai perkara ajal golongan jin.

Kaitan antara penemuan tulang ‘manusia’ dengan ‘tulang’ jin

Para pengkaji barat (golongan gereja) yang meneliti teks Genesis berpendapat, ‘manusia’ (sebenarnya bukan manusia) telah menghuni bumi sebelum ketibaan Adam. Namun ‘manusia’ dari ‘jenis yang tidak solid’ ini tidak mengalami proses pembiakan sebagaimana manusia dari keturunan Adam. Melalui pendapat yang sama, dikatakan ‘manusia’ berkenaan juga cuba membina tamadun tetapi tidak berjaya sebagaimana kejayaan tamadun-tamadun manusia dari keturunan Adam.


Tulang 'manusia' pra-sejarah? Beruk atau manusia?

Menurut pendapat yang sama, ‘manusia’ tersebut telah mengalami perubahan dari segi cara hidup yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan ketika berada di bumi. Pertelingkahan itu juga mungkin membawa maksud berperang sesama sendiri sehingga menyebabkan kerosakan di muka bumi. Ia akhirnya membawa kepada ‘kepupusan hak’ golongan ‘manusia’ itu sebelum digantikan dengan manusia nyata dari keturunan Adam. Pendapat sedemikian sedikit berbeza dengan doktrin asal Bible dan agak selari dengan teori evolusi namun pendefinisian ‘manusia’ itu tidak merujuk kepada spesies manusia dari keturunan Adam. Demikian sedikit pendapat yang dipetik dari kalangan pengkaji barat dari golongan gereja.

Dari sudut pandangan Islam melalui penjelasan al-Quran, Adam sememangnya diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi. Kita tidak mengatakan ‘manusia’ sebelum Adam itu adalah manusia secara terma konkrit di sini. Ini kerana, hanya keturunan Adam disebut sebagai manusia di sisi Allah.

Selain keturunan Adam, meskipun ‘mereka’ sudah hidup di dunia sebelum Adam, ‘mereka’ itu sebenarnya bukan manusia meskipun (tulang yang ditemui) kelihatan seakan manusia. Adam dan Hawa adalah manusia pertama yang sebenar-benarnya manusia dari segi terma bahasa. Pasangan itu adalah manusia paling awal hidup di bumi subur ini. Adam dan Hawa adalah manusia yang menepati definisi manusia, bukan ‘manusia’ yang sebelum manusia.

Golongan jin itu dilabel sebagai ‘manusia’ bukan kerana jin itu manusia, tetapi berdasarkan kedudukan status tulang yang ditemui itu tidak menepati ciri-ciri kesempurnaan sepertimana tulang-tulang manusia sempurna. Tulang-tulang itu pula hanya sekadar hampir menyerupai tulang manusia, bukan berketepatan sifat seperti tulang manusia, maka ia disebut ‘manusia’ yang bertanda ‘pengikat kata’ sebagai tanda perbandingan. Jin adalah jin, tidak pernah sama definisinya dengan manusia.

Pra-kesimpulan

Adam dan Hawa bukan makhluk pertama yang hidup di bumi. Pasangan dari syurga itu lebih tepat dikatakan manusia (yang menepati definisi manusia) pertama yang hidup di muka bumi. Makhluk yang paling awal hidup di bumi sudah tentu sekali bukan manusia. Namun, makhluk-makhluk itu tidak diciptakan sebagai khalifah di bumi meskipun sudah lama menghuni bumi sebelum era Adam.

Makhluk-makhluk itu tidak dipilih sebagai khalifah di bumi, ia berlaku sedemikian kerana ketetapan manusia sebagai khalifah sudah tertakluk di bawah kehendak Allah, manusia dipilih sebagai khalifah, bukan jin, juga bukan malaikat.

Kita wajar kembali meneliti teks al-Quran sebelum membuat kesimpulan kerana al-Quran menyematkan jawapan yang bersesuaian dengan akidah kita. Manakala pendapat-pendapat selain al-Quran pula hanya digunakan sebagai lorong-lorong untuk mencari lokasi kedudukan kompas. Setelah menemui titik yang sesuai, barulah kita meletakkan kompas supaya arah yang ditunjukkan itu menghala ke arah jawapan atau sekurang-kurangnya boleh diterima sebagai jawapan. Namun, jawapan yang konkrit adalah tertakluk di bawah pengetahuan Maha Pencipta.

Kita imbas semula pernyataan sebelum ini. Bible mendakwa bahawa manusia (Adam) wujud di bumi pada kira-kira 5000 tahun Sebelum Masihi atau 7000 tahun dari tarikh hari ini. Manakala penjelasan forensic sejarah pula menjelaskan manusia sudah wujud kira-kira 2 juta tahun Sebelum Masihi. Ia menimbulkan kontradiksi tarikh yang sangat jauh. Persoalan juga mula timbul apabila membandingkan sifat tulang rangka manusia (termasuk Adam) sebagai manusia sempurna dari segi tulang rangka mahupun anatomi.

Adam dan keturunannya diciptakan sebagai sebaik-baik makhluk. Maksud sebaik-baik makhluk itu pula mencakupi tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah, bentuk fizikal termasuk kesempurnaan tulang rangka dan sebagainya.



Manakala tulang rangka ‘manusia’ yang ditemui dan dilabel sebagai ‘manusia pra-sejarah’ itu pula tidak sempurna dari segi saiz tengkorak yang ideal dengan skala rangka tubuh sebagaimana manusia yang menepati definisi manusia. Saiz tengkorak ‘manusia’ itu pula lebih besar jika dibandingkan dengan skala ideal bagi keseluruhan tulang rangka. Dari segi saiz tengkorak sahaja sudah tidak menepati skala saiz yang tepat seperti manusia sempurna. Jadi, ia tidak sempurna sebagaimana skala saiz tulang rangka manusia. Di sini, kita menyentuh mengenai skala tulang rangka. Bukan berbincang mengenai saiz manusia dahulu kala yang dikatakan bersaiz gergasi. Skala dan saiz secara konkrit tidak sama meskipun kedengaran saling berkait.

Apa maksud yang disampaikan Darwin? Mungkin, mungkin dan mungkin?

Darwin cuba menyogok pemikiran manusia tanpa pegangan agama supaya mempercayai bahawa manusia moden yang wujud hari ini adalah hasil proses evolusi yang mengambil masa jutaan tahun. Menurut teori itu, manusia didakwa berkembang daripada spesies monyet sebelum berubah menjadi bentuk primate yang sempura.

‘Manusia’ yang dimaksudkan Darwin itu pula tidak memiliki sifat tulang rangka yang sempurna dari segi skala. Berdasarkan maklumat dari sumber Freemason, Darwin dikatakan seorang ahli pertubuhan rahsia yang ditugaskan mencipta teori kewujudan manusia dan pada masa yang sama menidakkan keterangan dalam kitab-kitab agama terutama al-Quran. Boleh disimpulkan bahawa Darwin cuba menyesatkan akidah manusia selepas diberi pengetahuan oleh para iblis yang menjadi tuannya. Itu maksud secara terang dan nyata.

Namun, penemuan arkeologi pula menunjukkan memang wujud tulang rangka yang menepati teori Darwin. Bagaimana pula itu?

Kita perhalusi lagi, tulang-tulang ‘manusia’ yang menepati teori Darwin ditemui dalam sifat yang tidak sesempurna tulang manusia seperti kita. Ia mungkin sebenarnya memang tulang beruk yang menepati definisi beruk, namun dikatakan sebagai ‘manusia awal’ oleh Darwin. Atau ia mungkin bukan tulang rangka beruk, tetapi makhluk lain yang pernah mendiami bumi ketika zaman dinosaur sebelum Adam. Makhluk-makhluk itu kemudian mati, lalu dikebumikan oleh bangsa mereka dan menjadi tulang temulang seperti yang ditemui oleh pencari gali arkeologi.


Bateri pra-sejarah?

Pada masa itu, mungkin makhluk-makhluk itu hidup dan mati seperti manusia hari ini. Namun diberikan umur yang panjang selepas memohon kelebihan itu daripada Allah dan kemudian dilaknat oleh Allah. Kita hanya mampu berkata MUNGKIN.. kerana kita sememangnya tidak tahu semua rahsia. Kita hanya mampu membuat andaian dan perlu dipastikan andaian itu tidak tergelincir. Tidak kurang juga mungkin makhluk itu juga pernah membina monumen sebagai tanda pencapaian tamadun mereka.

Kehidupan makhluk-makhluk itu di bumi pula mungkin telah membina tamadun-tamadun mereka yang tersendiri. Proses pembinaan tamadun pula menyaksikan berlaku penerokaan bumi sehingga mengakibatkan kerosakan. Mereka juga mungkin telah hidup selama jutaan tahun sebelum Adam, membina lapisan masyarakat, hidup berpuak dan berkomuniti serta berlaku pertelingkahan.

Juga mungkin, ketua makhluk itu (iblis) dan golongan malaikat dipanggil oleh Allah selepas diciptakan Adam. Iblis mungkin naik ke syurga melalui laluan langit di tapak Kaabah (belum dibina pada masa itu) untuk menemui Allah di syurga semasa Adam dibangkitkan dan ditiupkan roh.


Catatan maklumat graviti pada batu?

Iblis bagaimanapun menderhaka ketika Allah memerintahkannya supaya sujud kepada Adam, lalu iblis dilaknat dan dihukum kafir. Mungkin juga seluruh isi alam bergegar saat kemurkaan Allah terhadap iblis yang enggan sujud kepada Adam, bumi juga tidak terkecuali daripada gegaran itu. Semua makhluk di bumi tiada satu yang hidup termasuk dinosaur yang hidup sezaman dengan jin pada masa itu.

Mungkin seluruh isi alam bergegar ketika sebelum iblis meminta dipanjangkan umur, lalu semua bangsa jin yang berada di bumi ketika itu ada yang mati disebabkan tidak mampu bertahan dengan gegaran yang sangat kuat. Lalu mati menjadi tulang-tulang. Semua itu berlaku mungkin sebelum iblis meminta dipanjangkan umur dan menjadi ghaib. Tahap keimanan jin-jin yang mati itu pula tidak dapat dipastikan. Ini hanya andaian.

Hanya Allah lebih mengetahui.

Kesimpulan

Darwin mungkin sekali memaksudkan ‘manusia’ mengikut teorinya itu sebagai bangsa jin yang pernah hidup di bumi ketika zaman dinosaur. Darwin berbuat demikian bagi menjauhkan manusia daripada kenyataan bahawa manusia itu sebenarnya diciptakan dalam keadaan yang cukup sempurna termasuklah dari segi susunan tulang rangka.

Quran menjelaskan pasangan Adam iaitu wanita pertama diciptakan daripada sebahagian dirinya. Adam dijadikan sebagai asas terhadap penciptaan Hawa. Maka apabila Adam dijadikan sebagai asas untuk mencipta Hawa, maka ternyata bahawa sifat (fizikal) Adam sudah cukup sempurna sehingga Allah menciptakan Hawa juga dengan mengambil sebahagian daripada diri Adam sendiri. Sudah tentu Adam sempurna sebagai manusia secara fizikalnya. Lalu, Adam menjadi asas terhadap penciptaan wanita yang ditakdirkan hidup bersamanya di syurga dan bumi.

Kita ambil contoh mudah ini untuk membuat perbandingan. Teknologi klon dibuat dengan mengambil sebahagian daripada produk induk yang sempurna dan lazimnya DNA (deoksiribonukleik asid). Induk dipilih berdasarkan sifatnya yang sempurna supaya dapat menghasilkan klon yang sempurna. Induk yang sempurna juga menjamin penghasilan klon yang sempurna dan peratus kejayaannya juga tinggi. Maka dari contoh mudah itu, bukankah jelas untuk ‘menghasilkan sesuatu daripada produk sesuatu’ memerlukan induk itu memiliki sifat yang sempurna supaya proses penghasilan klon berjaya?

Bahkan, teknologi klon juga tercipta selepas manusia mengkaji penjelasan kitab-kitab termasuk Quran dan Bible mengenai penciptaan Hawa. Maka, bukankah jelas bahawa Adam juga manusia sempurna yang menjadi asas kepada penciptaan Hawa?

Dengan itu, di mana kredibiliti Darwin dalam mengatakan manusia itu bermula dengan sifat tidak sempurna (asal beruk) dan beransur berubah menjadi sempurna (manusia)? Teknologi klon sendiri menidakkan teori Darwin, walhal teknologi klon itu tercipta selepas para saintis meneliti keterangan dalam kitab-kitab agama. Adam dan pasangannya selaku manusia pertama yang hidup di bumi dan memiliki sifat-sifat sempurna.

Oleh itu, apa maksud Darwin melalui teorinya dan kepada siapa ‘manusia beruk’ itu dirujuk jika tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada keturunan ‘tuannya’iaitu syaitan dan jin yang pernah menghuni bumi sebelum Adam diciptakan? Tulang rangka ‘beruk’ itu pula tidak sesempurna seperti manusia, dan sudah tentu ia bukan manusia. Maka, jin itu sifatnya sedikit hampir seperti beruk dan hampir kepada seakan-akan sifat fizikal manusia?

Dari sudut biologi spesies primate, manusia boleh menghasilkan hybrid jika benih sperma dan ovum disatukan sesama spesies menerusi bioteknologi klon. Andai jin juga memiliki sifat fizikal yang hampir sama dengan manusia, maka tidak mustahil juga bangsa itu boleh menghasilkan hybrid jika bersetubuh dengan manusia. Maka siapa pula manusia hybrid itu?

Mohon maaf jika pendapat ini salah. Kita hanya mampu membuat andaian dan ia bukan bermaksud jawapan. - SHAHi


Carta tahap: ………. -7, -6, -5, -4, -3, -2, -1, 0 (tahap 0 adalah tahap paling minima, manakala tahap 1 dan seterusnya pula bukan dalam lingkungan pengetahuan yang mampu dicapai fakulti akal manusia) (Tahap -8, -9, -10… -N sudah anda ikuti dalam subjek-subjek tertentu sebelum ini, tak perlu bertanya kenapa bermula dengan -7)

Sumber rujukan untuk artikel ini:
Quran Kitab Suci
Teori Evolusi Darwin
Bible, Genesis
Discovery Researchers' Note

END OF negative seven

sumber : http://ksz-associate.blogspot.com/
blog comments powered by Disqus