Tuesday, December 15, 2009

Nasib albino Tanzania

Share
SAMBIL terkebil-kebil terkejut, tiada apa dapat dilakukan Mary Mathias kecuali melihat dengan penuh ketakutan sekumpulan orang tidak dikenali menyerbu rumahnya di tengah malam.

Bersenjatakan parang, mereka muncul dari gelap di luar dan mengugut suaminya.Mary tidak berhenti-henti merayu supaya mereka tidak diapa-apakan.


Tiba-tiba, ibu kepada tujuh anak itu teringat kepada tiga zuriatnya yang mengalami penyakit albino di bilik tidur sebelah.

Bunyi hentakan di bilik itu seakan mencabut nyawanya.

Apabila kumpulan penceroboh itu meninggalkan rumah berkenaan, kebimbangan Mary akhirnya menjadi kenyataan - seorang daripada anak perempuannya, Eunice, 14, terbaring berlumuran darah.

Kaku di lantai, tubuh Eunice tidak lagi sempurna apabila kedua-dua kakinya dipotong dan dilarikan.

Menceritakan detik itu, Mary berkata, dia terkejut daripada tidur pada tengah malam apabila dua lelaki memecah masuk ke bilik tidur dan mengacu parang ke leher suaminya.

“Mereka mengancam untuk membunuh suami jika dia memandang wajah mereka, manakala saya dipaksa berbaring di lantai dan tidak membuat bising.

“Sejurus kemudian, ada bunyi menakutkan dari bilik anak-anak di sebelah,” katanya.

Melihat keadaan Eunice, Mary sekadar meraung selepas melihat kedua kaki anaknya itu kudung.

Sejak beberapa tahun lalu, pembunuhan di kalangan penghidap albino di Tanzania berleluasa disebabkan permintaan anggota badan mereka untuk dibuat tangkal.

Dalam tempoh kurang setahun, 50 penghidap albino dibunuh dan menjejaskan imej Tanzania negara itu sebagai negara paling liberal dan stabil di Afrika.

Walaupun pembunuhan berleluasa, hanya segelintir didakwa serta disabitkan kesalahan.

Cuba, awal bulan ini, aktivis sosial berpuas hati apabila empat pembunuh dihukum mati atas kesalahan menyerang pesakit albino berusia 50 tahun, Lyaku Willy.

Ia adalah kes pertama membabitkan kesalahan memperdagangkan anggota badan manusia dibawa ke mahkamah.

Ketika pihak berkuasa bergelut mengekang jenayah itu, ia sukar diatasi sepenuhnya apabila kegiatan berkenaan kadang-kadang turut didalangi ahli keluarga mangsa.

Dalam kes tertentu, ada ibu bapa yang tergamak membunuh anak sendiri untuk menjual anggota badan mereka.

Pembunuhan Eunice juga - malangnya - termasuk dalam kategori itu.

Sambil tersedu, Mary berkata, suaminya ditahan dan dituduh membunuh Eunice.

Sehingga kini, suami Mary masih ditahan sebelum hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Pengalaman ngeri itu memang memberi kesan besar kepada keluarga Mary.

Shida, 13, berkata disebabkan albino, orang ramai memulaukannya, malah menghina dengan meludah atau mentertawakan keadaan itu.

Dia juga dibayangi ketakutan jika gilirannya dibunuh tiba.

“Masih terngiang-ngiang bunyi mereka memotong kakak saya.

“Penjahat itu mengancam untuk membunuh saya jika melihat mereka.

“Perkataan terakhir yang keluar dari mulut Eunice adalah: Tuhan, tolong saya. Saya nak mati,” katanya.

Takut menjadi sasaran seterusnya, Shida berharap mereka sekeluarga boleh berpindah ke tempat lain dan bebas daripada buruan pembunuh.

“Kami cuma mengharapkan kehidupan normal,” katanya.

Sebagai perbandingan, di United Kingdom, hanya seorang daripada 17,000 kelahiran mengalami penyakit albino, manakala di Tanzania, seorang bagi setiap 1,400.

Ia menjadikan Tanzania sebagai antara negara paling ramai penghidap albino.

Selain menghadapi diskriminasi, penghidap albino di Tanzania juga terpaksa bergelut mengelak daripada menjadi mangsa pembunuhan.

Ia gara-gara kepercayaan sesetengah pihak kononnya anggota badan mereka menyimpan kuasa hikmat.

Permintaan anggota badan pesakit albino datang daripada pelbagai pihak, termasuk pelombong emas dan permata.

Bagi nelayan, mereka percaya hasil tangkapan boleh bertambah dengan ketara jika pukat atau jala mereka disangkut dengan kaki pesakit albino.

Harga sehingga RM14,000 bagi sebelah tangan atau kaki bukanlah aneh di Tanzania.

Kata Mary, Eunice mati akibat ketamakan manusia mengejar harta.

“Saya harap roh Eunice ditempatkan di syurga,” katanya.

Dalam keadaan dua lagi anaknya menghidap albino, Mary sedar bermacam kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Tambahan pula tiada sesiapa di kampung itu mahu membantu atau memberi perlindungan.

“Sanak-saudara pun enggan bersimpati kerana mereka tidak dapat menerima pesakit albino,” katanya.

Apabila bercakap dengan orang ramai, kata Mary, dia rasa terhina apabila tiada sesiapa mahu memandang mereka.

“Anak-anak saya juga manusia, bukan anjing,” katanya.

Apabila menjelang malam, kata Mary, dia sedih melihat ketakutan di wajah anak-anaknya.

Hidangan disediakan juga, katanya, tidak dijamah.

“Mereka terbayang maut akan menjemput mereka setiap kali malam menjelang,” katanya.

Selain Tanzania, buruan terhadap anggota badan pesakit albino kini merebak ke negara jiran - Congo dan Burundi.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 pesakit albino tumpas di tangan pembunuh.

Bagi membantu 270,000 pesakit albino, beberapa pertubuhan kebajikan ditubuhkan di Tanzania.

Antaranya, Persatuan Albino Tanzania dan Under The Same Sun yang aktif memberi pendedahan mengenai penyakit itu di sekolah rendah.



blog comments powered by Disqus