Saturday, February 12, 2011

Maulidur Rasul : Memantap Ukhwah, Memperkasa Ummah

Share
http://2.bp.blogspot.com/-TEPFgFX8N84/TVnitdQ83DI/AAAAAAAAA68/eDxieUoQWw4/s1600/maulidurrasul.jpg

Sama-samalah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan kita perlu meyakini janji Allah swt bahawa ganjaran pahala dan kejayaan besar kepada orang-orang yang taat akan tetap dianugerahkan oleh-Nya.

Marilah kita sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa kebenaran serta membawa berita gembira bagi orang mukmin dan begitulah sebaliknya bagi mereka yang ingkar. Semoga selawat dan salam yang telah dilafazkan kepada nabi besar kita Muhammad SAW yang telah membawa amanah serta menyampaikan risalah kepada kita akan menyuburkan lagi kecintaan kita kepada insan teragung ini.

Bagi umat Islam di negara kita Malaysia, mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sudah menjadi tradisi. Antara lain bertujuan untuk memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW. Ia memberi suatu pengertian yang bermakna demi keagungan baginda yang telah berjuang demi nilai-nilai kemuliaan dalam kehidupan manusia seluruhnya. Baginda SAW tidak mengenal erti kepayahan dan kesengsaraan bahkan kepayahan inilah yang menjadi intipati kepada kecemerlangan Islam yang kita nikmati pada hari ini.

Oleh yang demikian, amat wajar bagi umat Islam seluruhnya memperingati hari bersejarah ini, iaitu hari kebesaran pemimpin agung yang telah membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan serta mengeluarkan mereka dari alam kekufuran kepada nur hidayah yang mengesakan Allah SWT.

Pengorbanan Rasulullah SAW melalui sifat-sifat baginda yang mulia itu telah membuatkan para bijak pandai dari kalangan umat Islam mahupun yang bukan Islam, para cendekiawan, para alim ulama’ dari seluruh dunia telah bersepakat bahawa riwayat hidup dan perjuangan Rasulullah SAW daripada kecil hingga akhir hayatnya adalah yang paling banyak diperkatakan, ditulis, diteliti dan dikaji daripada segenap segi dan sesuai untuk dijadikan ikutan, panduan dan sebagai ‘role-model’ (contoh ikutan) dalam usaha manusia membentuk muslim yang bertaqwa.

Kita meyakini bahawa jika kita menerima pakai atau mengikut sifat-sifat mulia yang pernah dibuat oleh Rasulullah SAW nescaya tidak akan wujud masalah dalam masyarakat, tidak pincang dalam pengurusan, tidak timbul perbalahan dan pelbagai unsur negatif dalam ummah.

Antara yang kita perlu hayati dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah kepimpinan baginda yang menjadi suatu rahmat bagi kita sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 107.

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah baginda dapat mendamai dan menyatupadukan masyarakat Arab Jahiliah daripada satu masyarakat yang biadap, bengis, kasar dan kejam kepada suatu masyarakat yang bersopan santun, berbudi bahasa dan berkasih sayang. Baginda Rasulullah SAW dapat membawa masyarakat Arab Jahiliah ketika itu dari alam kekufuran dengan menyembah pelbagai berhala, kepada keimanan dan mentauhidkan Allah.

Jelasnya rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu iaitu agama Islam. Selama 23 tahun Rasulullah SAW menyeru masyarakat Arab di kota Mekah dan Madinah kepada ajaran Islam dengan tidak berhenti-henti, seruan demi seruan sehingga tertegaklah Islam ke seluruh dunia sampai ke zaman kita sekarang ini. Alhamdulillah, telah pun sama-sama kita rasai nikmat ‘Iman dan Islam’.

Selama 23 tahun Rasulullah SAW memupuk semangat perpaduan dan berkasih sayang sesama manusia, tetapi amat mendukacitakan kita kerana masih ada dari kalangan masyarakat kita kurang memahami prinsip perpaduan yang dikehendaki dalam Islam, menyebabkan perpaduan menjadi perpecahan, kasih sayang menjadi benci membenci dan sebagainya. Semua ini dapat dielakkan oleh umat manusia melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

((Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang mana sekiranya kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW)).

Bersesuaian dengan tema “WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH” pada sambutan tahun ini, marilah kita berusaha memartabatkan kembali kemuliaan kita sebagai umat Muhammad s.a.w. Persiapkanlah diri kita dengan segala ilmu dan kemahiran bagi menghadapi cabaran pembangunan di hadapan kita. Memperingati Nabi Muhammad SAW bukanlah dengan hanya mengadakan majlis-majlis sambutan, ceramah-ceramah atau perarakan sahaja, malah apa yang paling dituntut ialah sejauh mana kita menghayati dan mengikut segala ajaran serta amanah-amanah yang telah disampaikan oleh Rasul junjungan kepada kita.

Kita kesal kerana terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab sanggup menghina nabi junjungan kita dan kita umat Islam seluruhnya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang melampau ini. Telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah pemimpin agung dunia dan menjadi kewajipan kepada kita supaya mengambil pengajaran dengan menghayati kepimpinan yang ada pada diri Rasulullah SAW melalui contoh-contoh dan tauladan yang telah disampaikan. Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang dan ingatlah kepada Allah banyak-banyak”.

Sumber: JAIS
blog comments powered by Disqus